Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang sedang dalam pembinaan.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengarahkan pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dipercepatkanselepas melihat kemajuan yang perlahan di negeri itu berbanding di Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Kementerian Kewangan, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof juga ditugaskan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak lagi tertangguh.
“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk disegerakan. Asalkan ada proses perolehan dan tender, maka, kerajaan lakukan ‘fast track’ di Sabah.
“Ini disebabkan projek Pan Borneo sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Jadi, oleh kerana kerajaan sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk kerajaan lengahkan,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, menurut beliau, ketika Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, perkara dibangkitkan baginda ialah mengenai Pan Borneo yang lebih bermasalah di Sabah dengan jalan yang teruk.
“Kadangkala, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal [Warisan-Semporna] mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah untuk disiapkan, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.


































