Michael Lui (enam dari kanan) memotong kek Bulan bersama-sama dengan tetamu jemputan
TAMPARULI: Lebih 2,000 penduduk meraikan Pesta Tanglung Tamparuli anjuran warga SJK (C) Chung Hwa Tamparuli pada malam Ahad.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim memuji pihak penganjur yang telah menjayakan pesta tersebut untuk penduduk pekan Tamparuli dan sekitar daerah Tuaran.
Pesta tersebut bukan sahaja penting sebagai pendedahan kepada salah satu tradisi budaya masyarakat Tionghua, ia juga dapat memupuk persefahaman antara kaum untuk memperkukuhkan perpaduan, kata beliau dalam ucapannya yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Tamparuli Herman Tungiging.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK (C) Chung Hwa Tamparuli, George Teo berkata, sambutan Pesta Tanglung tahun ini agak istimewa kerana kehadiran orang ramai yang diluar jangkaan.
“Ia juga satu petunjuk baik bahawa keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di mana rakyat dari berbilang kaum dapat meraihkan sesuatu perayaan dengan aman dan damai,” katanya.
Selain daripada Jahid, tetamu khas pada malam tersebut ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) Datuk Michael Lui.































