Mayat mangsa dibaham buaya ditemukan di tepi laut Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu hari ini.-Ihsan PDRM
LAHAD DATU: Hasrat seorang lelaki bersama tiga rakannya menangkap ketam tidak kesampaian apabila mangsa dibaham buaya dan ditemukan maut di tepi pantai di Kampung Tanjung Batu pagi tadi.
Mayat mangsa yang berusia 23 tahun itu ditemukan dengan kesan gigitan iaitu di bahagian lengan kiri dan kepala serta mempunyai kesan calar di bahagian dada serta di belakang leher dan punggung.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga asing difahamkan keluar menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut Kampung Tinagian Tanjung Labian awal pagi tadi.
“Semasa kejadian, ketiga-tiga rakan mangsa melihat mangsa dibaham buaya namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Hanya dalam sekelip mata, mangsa disambar dan hilang daripada kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa yang merupakan pekerja am di sebuah ladang ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhanpiran Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira pukul 7.20 pagi.
Menurut Rohan, sepasukan polis dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
Justeru, satu siasatan laporan mati mengejut telah dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bersangkut dengan kejadian ini. Ia adalah kes pertama mangsa dibaham buaya direkodkan di daerah berkenaan pada tahun ini.
Susulan kejadian itu, Rohan menasihatkan masyarakat setempat terutama yang menjalankan aktiviti di laut atau sungai agar lebih berhati-hati dengan kehadiran reptilia yang boleh mengancam nyawa manusia.