Sebuah rumah dua tingkat musnah dijilat api di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Sebuah rumah dua tingkat musnah dijilat api di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Kampung Sinulihan, Inanam, pada kira-kira jam 6 petang.
Katanya, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian MERS999 pada jam 6.37 petang dan sepasukan empat anggota dari BBP Lintas dibantu oleh lapan anggota BBP Kota Kinabalu, diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Selvister Yamud dikejarkan ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP Lintas, didapati sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat berukuran 50’x30’ telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak mengawal dan memadam kebakaran menggunakan dua aliran tiga pancutan 300′ sumber air dari tangki jentera untuk memadam kebakaran,” katanya.
Agustavia berkata, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.05 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.03 malam.