Hajiji bersama tetamu yang hadir daripada pelbagai suku kaum sempena Majlis Makan Malam Amal Sinar Madani Sabah Maju Jaya di SICC, Kota Kinabalu, malam ini. Hadir sama Pengerusi Yayasan Sinar Kasih, Dato’ Sri Nasir Tun (Dr) Sakaran.
KOTA KINABALU: Dua lagi inisiatif baharu bakal dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, inisiatif pertama ialah Program Santuni Komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan penghasilan dan penjualan produk oleh usahawan ibu tunggal dan wanita B40 yang bakal dilaksanakan bagi menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan di negeri ini.
Manakala inisiatif kedua pula melibatkan pengagihan Produk Pek Makanan Segera kepada mangsa-mangsa bencana alam yang ditempatkan di pusat penempatan sementara, tambahnya.
Beliau berkata, pelbagai pendekatan yang diambil Kerajaan adalah bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan di negeri ini.
“Selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan perkhidmatan yang cemerlang, Kerajaan Negeri kekal komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pelbagai inisiatif dan program yang merupakan flagships di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan sebelum ini diteruskan pada tahun ini.

Hajiji memalu gong sebagai gimik pelancaran Yayasan Sinar Kasih pada Majlis Makan Malam Amal Sinar Madani Sabah Maju Jaya di SICC, Kota Kinabalu, malam ini.
“Selain dua pendekatan baharu itu, beberapa program yang diteruskan pada tahun ini antaranya Program Homeward untuk menyantuni rakyat dalam kategori sakit terlantar dan Program Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan Pra-Sekolah dan Tadika.
“Kita juga meneruskan Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Sinar Madani Sabah Maju Jaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ketua Menteri menggesa sektor korporat dan orang perseorangan yang berkemampuan untuk terus menyokong majlis amal seumpama ini bagi membantu golongan berkeperluan terutamanya di pedalaman dan luar bandar.
“Kalau bukan kita yang menjalankan kerja-kerja kebajikan siapa lagi yang akan membantu mereka. Inilah sikap Sabah Madani yang harus kita tanam sebagai benih prinsip hidup kita di Sabah,” tegasnya.
Sesungguhnya, katanya, majlis makan malam amal ini amat bermakna untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam meneruskan kelangsungan hidup pada hari ini,terutama selepas pandemik Covid-19.
“Dalam kita masih mampu untuk membeli makanan dan barang keperluan keluarga, masih ada insan-insan di luar sana yang memerlukan pertolongan bantuan daripada kita,” katanya.

Hajiji menghadiri Majlis Makan Malam Amal Sinar Madani Sabah Maju Jaya di SICC, Kota Kinabalu, malam ini.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada Yayasan Sinar Kasih serta rakan kerjasamanya iaitu PEWASA dan SEAMEX kerana berjaya menganjurkan majlis makan malam amal tersebut.
“Saya berharap Yayasan Sinar Kasih dapat terus membantu jentera kerajaan untuk pembangunan ummah di negeri ini,” katanya.































