SMK Rancha – Rancha bakal membawa cabaran Labuan ke peringkat Kebangsaan pada 19 September 2023.
LABUAN: Pertandingan Drama Bahasa Melayu anjuran Jabatan Pendidikan Labuan mampu memupuk nilai Anak Baik Lagi Cerdik (ABC) dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Nasrun Ramlee pertandingan itu memberi impak positif terhadap penerapan nilai Baik lagi cerdik dalam kalangan pelajar seiring dengan konsep Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin melahirkan Murid yang baik lagi cerdik atau ringkasnya ABC.
“Antara tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat para pelajar dalam kemahiran berkomunikasi dan kemahiran sosial serta kebolehan berbahasa yang lebih baik selain menyemai semangat kerjasama dan perpaduan dalam menjayakan sesebuah pementasan.
“Pertandingan kali ini dibuat secara bersemuka setelah kali terakhir pertandingan diadakan pada tahun 2018, kemudian ditiadakan selama dua tahun akibat pendemik, dan pada tahun lepas pertandingan seumpama ini diadakan melaui rakaman video sahaja,”katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan pertandingan itu baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha.
Sementara itu, Pengerusi Tekniknal Drama dan Teater Pertandingan tersebut, Jasmini Daud berkata, penganjuran pertandingan pada tahun ini mewajibkan setiap sekolah membawa drama yang dicipta atau ditulis oleh peserta sendiri.
“Ini bermakna setiap drama yang dipertandingkan perlulah asli dan tidak mengambil daripada mana-mana drama yang telah ditulis atau diterbitkan di mana-mana buku, ini merupakan perubahan konsep pertandingan yang baharu di mana setiap pasukan bertanding tidak lagi berasaskan kepada teks ‘Komponen Sastera’ (KOMSAS) seperti pertandingan sebelum ini,”jelasnya semasa ditemui media.
Pertandingan yang disertai lapan buah sekolah itu dimenangi SMK Rancha – Rancha yang menampilkan drama berbentuk Sejarah bertajuk “ Jiwa Anak Rimba Antanom Pahlawan Murut” selain membawa pulang tiga anugerah iaitu Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dilakonkan oleh Muhammad Saad Rosdi, Anugerah Sinografi Terbaik serta Anugerah Pengarahan Terbaik.
Tempat kedua dimenangi oleh SMK Pantai yang membawa drama bertajuk “Pantai Kenangan” dengan membawa pulang Anugerah Pelakon Perempuan Terbaik manakala tempat ketiga dimenangi SM ST. Anthony dengan tajuk drama “Salahkan Takdir”, selain mendapat Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Perempuan Terbaik dan Skrip Terbaik.
Tempat ke empat dan ke lima masing-masing dimenangi oleh SMK Labuan dan SM Sains Labuan. SMK Rancha – Rancha akan mewakili Labuan ke Pertandingan Drama Peringkat Kebangsaan yang bertempat di Pahang pada 19 hingga 22 september ini.