Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof
SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan mengesahkan terdapat satu serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad di sini awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, serbuan tersebut dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Bagaimanapun jelas beliau, siapakah individu yang ditangkap dalam serbuan berkenaan tidak lagi boleh disahkan ekoran laporan mengenainya belum lagi selesai.
“Saya hanya boleh sahkan serbuan operasi oleh JIPS Bukit Aman bersama IPK Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan seorang pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya (DPP) ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin.
Berdasarkan laporan tersebut, hanya seorang daripada yang ditahan disahkan negatif hasil ujian air kencing dijalankan manakala selebihnya berada di bawah pengaruh dadah termasuk dua timbalan pendakwa raya terbabit.
Kesemua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta IPK negeri.
Dua orang timbalan pendakwa raya yang ditahan itu masing-masing bertugas di Shah Alam dan di negeri ini.
Kesemua yang ditahan juga dilaporkan positif dadah jenis ketamin, amphetamin dan methamphetamine dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.