Anwar Ibrahim mengaminkan doa semasa majlis sambutan hari lahirnya.- FB/Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Hari kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dengan jamuan bersama kakitangan-kakitangan pejabatnya, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berterima kasih terhadap doa yang diberikan dan jamuan diadakan sempena hari kelahirannya.
“Terima kasih atas doa dan ingatan semua sempena harlah saya hari ini.
“Penghargaan juga kepada staf Pejabat Perdana Menteri yang buat ‘potluck’ untuk saya. Terima kasih sekali lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Antara pemimpin yang menyampaikan ucapan sempena hari kelahiran Ahli Parlimen Tambun itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendoakan Perdana Menteri terus berada di bawah lindungan Allah, dikurniakan keberkatan dan dipermudahkan urusan untuk memimpin negara.
“Selamat Hari Ulang Tahun Perdana Menteri. Semoga sentiasa di bawah lindungan rahmat-Nya, dikurniakan keberkatan serta dipermudahkan segala urusan untuk memimpin negara ini. Insya-Allah,” katanya.
Ucapan sama turut diberikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.