Persatuan Nelayan Pasir Putih Nelayan memeriahkan program KMJG 2023 Peringkat Daerah Putatan dengan membawa Jalur Gemilang di atas bot masin-masing.
PUTATAN: Persatuan Nelayan Pasir Putih menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan pelepasan 38 bot dihiasi Jalur Gemilang di Teluk Villa.
Program julung kali di jeti yang baru siap dibina itu dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari selepas merasmikan Program Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Daerah Putatan, pada Rabu.
Awang ketika ditemui media berkata, program tersebut merupakan antara program awal menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di mana kedua-dua hari bersejarah itu sangat penting diamati oleh semua rakyat agar semangat terus berkobar di samping menyesuaikan diri dengan arus pembangunan.
Pada majlis tersebut juga, Awang mengumumkan pemberian saguhati khas sebanyak RM50 seorang kepada 40 orang kanak-kanak Tabika Kemas Pasir Putih yang menyertai pertandingan mewarna lukisan bertemakan Bulan Kebangsaan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Supian Musa, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.23 Petagas, Latif Jiar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.24 Tanjung Keramat, Mahadzir Abdul Majid.