Hendrus (empat dari kiri) melancarkan replika logo Malaysia Madani berasaskan jagung.
KOTA MARUDU: Idea kreatif Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, Peter Semusin berjaya menghasilkan replika logo Malaysia Madani berasaskan kulit jagung.
Sinonim sebagai daerah pengeluar jagung terbesar di Sabah, replika tersebut dihasilkan daripada empat komponen jagung iaitu batang, rambut, bunga dan daun yang dipintal.
Logo Malaysia Madani berukuran lebar tiga kaki lebar dan empat kaki itu panjang mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan oleh kumpulan pelajar yang diketuai oleh guru SMK Tandek, Liew Yun Chin.
Pelancaran replika berkenaan diadakan pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Daerah Kota Marudu di sini, pada Isnin.
Ketibaan konvoi KMJG 2023 yang diketuai oleh Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor disambut Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Hendrus Anding.
Hendrus turut menandatangani buku lawatan KMJG 2023 dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada agensi-agensi kerajaan di daerah Pitas sebelum menyempurnakan pelepasan konvoi ke destinasi seterusnya.





























