Ramlah (tengah) menyempurnakan pelepasan konvoi KMJG 2023 ke destinasi seterusnya.
PITAS: Pejabat Daerah Pitas kini giat menjalankan kempen 1 Rumah, 1 Jalur Gemilang.
Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Mark @ Hassan Libau berkata, kempen itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam bulan kebangsaan ini.
“Pejabat Daerah Pitas menggalakkan setiap warga Pitas untuk mengibarkan sekurang-kurangnya Jalur Gemilang di rumah masing-masing.
“Bukan sahaja Jalur Gemilang, malah masyarakat juga diseru untuk turut mengibarkan bendera Negeri kita dan kami berharap agar semua penduduk dapat memberikan kerjasama dalam menjayakan kempen ini,” ujarnya kepada media selepas program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Daerah Pitas, pada Isnin.
Ketibaan Konvoi KMJG 2023 yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor disambut oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pitas, Ramlah Nasir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Pitas.
Turut hadir, Pemangku Pengetua SMK Pekan Pitas, Raja Syariffah Raja Yusoff, Pegawai Penerangan Daerah, Jemin Pangut dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Sektor Pengurusan Murid, Salleh Esmara.





























