PETALING JAYA: Kertas siasatan kes kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan seorang menteri pada 29 Jun lalu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dengan tindakan tambahan yang diminta.
“Kertas siasatan itu kita akan rujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam minggu ini,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu tidak memberi kerjasama kepada penjawat awam.
Pada 30 Jun lalu, tular di media sosial seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mengakui menteri dimaksudkan itu dirinya, menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelawat berkenaan.
Menerusi kenyataan media, beliau mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas, selain mendedahkan kehadirannya ke KLIA itu membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara itu.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan serta merta selepas insiden itu dilaporkan pihak media.