Mayat mangsa dibawa ke daratan untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang nelayan lemas ketika menangkap ikan di laut, di sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Pantai Batu Payung, Tawau pada sekitar jam 3 petang.
Menurutnya, panggilan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian MERS999 pada jam 3.38 petang dan sepasukan empat anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Suheizan Sahak dikejarkan ke lokasi.
“Turut serta dalam operasi menyelamat termasuk tujuh anggota PPM, enam anggota TLDM, 12 APMM dan dua anggota SAPURA,”katanya.
Jemishin berkata, setiba di lokasi sejauh 18 kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang nelayan bernama Hussin Hasanji, 30-an dikuatiri hilang dilaut.
Katanya, maklumat awal dari pemanggil mengatakan terdapat sebuah bot nelayan ditemui terdampar di pantai Batu Payung, Tawau.
“Setelah usaha mencari dijalankan, mangsa ditemukan di kawasan 0.8 BN daripada Tenggara Kg. Muhibbah pada jam 3.34 petang oleh Pasukan PPM dan dibantu oleh agensi penyelamat yang lain.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang.