Baddrol Bakhtiar
PETALING JAYA: Sabah FC membuat pengumuman mengejut kelmarin, mengesahkan Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan pasukan itu serta merta.
Menurut Utusan Malaysia, Sang Badak memaklumkan, keputusan untuk berpisah dibuat dengan baik selepas mencapai persetujuan bersama dengan bintang tengah berusia 35 tahun itu.
“Kelab Bola Sepak Sabah mengumumkan bahawa Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama pasukan sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“Keputusan ini diambil melalui persetujuan bersama Baddrol Bakhtiar, atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Dengan keseluruhan 41 penampilan dan 13 gol, tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin, nama Baddrol Bakhtiar juga akan terpahat sebagai legenda di Arena bola sepak Malaysia.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang yang beliau ceburi. Kami sentiasa mengalu-alukan Baddrol Bakhtiar kembali ke Sabah FC sebagai keluarga pada masa hadapan,” kata Sabah FC dalam satu kenyataan.