Pasukan bomba memeriksa kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kinabatangan. – Ihsan Bomba
KINABATANGAN: Seorang lelaki tempatan cedera melecur dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin memberitahu, kejadian berlaku di Ladang Tong Hup, Paris 1, Kinabatangan pada kira-kira jam 11 pagi tadi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 11.35 pagi dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PB Helmi Yahya bergegas ke lokasi.
“Setiba ditempat kejadian yang terletak 49 kilometer dari BBP itu, didapati sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 20X30 kaki persegi terbakar 95 peratus tetapi telah dipadamkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 25 tahun mengalami kecederaan melecur telah dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya.
Menurut Nurul, tiada operasi pemadaman dijalankan dan seterusnya pasukan bomba memastikan tiada kemerbahayaan lain.
Operasi terkawal pada jam 12.40 tengah hari dan ditamatkan 19 minit kemudian.

Keadaan kebakaran melibatkan sebuah bot nelayan di Semporna. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di SEMPORNA, sebuah bot nelayan terbakar pada kira-kira jam 1 petang tadi.
Ketua BBP Air Semporna PBT II Noor Jali Maslah berkata, kejadian berlaku berhampiran Dragon Inn Resort.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 1.37 petang dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hajim Abdul Malak dihantar ke lokasi.
Setiba di itempat kejadian yang terletak satu kilometer dari BBP itu, pasukan bomba mendapati sebuah pump boat (bot nelayan) jenis kayu terbakar 60 peratus, jelasnya, sambil menambah operasi pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api jenis debu kering.
“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Operasi terkawal pada jam 1.44 petang dan ditamatkan pada jam 1.48 petang,” katanya.































