Hashim Dahlan menunjukkan cili padi hasil titik peluhnya berkebun
LABUAN: Lima orang asnaf di Wilayah itu menerima Bantuan Perikanan dan Pertanian bernilai RM24 ribu daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.
Menurut satu kenyataan MAIWP Labuan petang tadi, tiga orang asnaf yang merupakan nelayan sepenuh masa menerima Bantuan Perikanan berbentuk modal bagi pembelian peralatan menangkap ikan bagi menggantikan peralatan yang telah rosak dan usang.
“ A.Chuchu Bakar, 65 dari Kampung Lubuk Temiang menerima bantuan tunai bernilai RM4,000.00 manakala Rosman Hussien, 54 dari Kampung Rancha- Rancha Laut dan Md Nazli Karim, 41 dari Kampung Patau- Patau Satu masing- masing menerima bantuan tunai bernilai RM4,000.00 dan RM3,000.00,”menurut kenyataan itu.
Sementara itu, sebanyak RM13 ribu bantuan berbentuk modal disalurkan kepada dua orang petani asnaf melalui Skim Bantuan Pertanian MAIWP.
“Salinah Salim, 36 daripada Kampung Lubuk Temiang yang mengusahakan tanaman sayur- sayuran seperti sawi, peria dan petola menerima bantuan tunai bernilai RM5 ribu bagi menampung kos pembelian mesin pembajak tanah, biji benih, baja dan sebagainya.
“Manakala Hashim Dahlan, 54 bekas pemandu teksi mula bercucuk tanam selepas terkesan dengan pandemik COVID-19 turut menerima bantuan tunai bernilai RM8 ribu.
“Modal yang diperolehi digunakan untuk menampung pembelian baja, kokopit, peralatan meracun tanaman sekaligus modal tambahan untuk menampung penanaman semaian baharu setelah semaian sebelum ini telah habis dituai, tanaman sebelum ini boleh mencapai 1,000 polybag dengan pelbagai jenis tanaman,”menurut kenyataan itu lagi.
Bantuan disampaikan oleh Ketua Unit Pembangunan Asnaf, MAIWP Labuan, Mohd Syukur Norfini.





























