Anwar bersama Hajiji dan Ahmad di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yakin bantuan berjumlah RM320,250,000 daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah akan mempercepatkan rancangan jangka pendeknya untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.
Ia melibatkan pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan projek di bawah rancangan daerah bagi Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
Hajiji, diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rancangan Sabah untuk menangani masalah bekalan air, di pejabatnya di Putrajaya, pagi tadi.
Mengalu-alukan keputusan pantas Perdana Menteri, Hajiji berkata, projek itu dijangka mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk disiapkan.
Turut bersama Hajiji ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim and Pengarah Jabatan Air, Suhaimi Asbullah.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Hal Ehwal Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali serta ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan yang berkaitan.
Hajiji turut berkongsi rancangan bekalan air berimpak tinggi jangka panjang Kerajaan Negeri, termasuk dua projek empangan di Papar dan di Ulu Padas, Sipitang untuk memastikan bekalan air mampan untuk jangka panjang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa penubuhan segera pasukan petugas yang terdiri daripada kementerian negeri dan persekutuan bagi mendapatkan pendekatan holistik dan cara terbaik ke hadapan.
Pada majlis penutupan Pesta Kaamatan Negeri yang dihadirinya kelmarin, Perdana Menteri menyatakan beliau akan mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi hari ini mengenai masalah bekalan air Sabah.
Menteri Besar Kelantan, Dato Haji Ahmad Yaakob dan rombongan rasminya turut hadir pada mesyuarat itu untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai masalah bekalan air Kelantan.



























