Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 133 kes Covid-19 minggu lalu (21-27 Mei), melonjak sebanyak 108 kes berbanding minggu sebelumnya (14-20 Mei).
Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, bilangan kes tempatan meningkat sebanyak 106 peratus (132 minggu lalu berbanding 64 kes minggu sebelumnya), manakala satu kes lagi merupakan kes import.
“Tiga kes kematian dilaporkan minggu lalu berbanding sifar kes pada minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Joachim, purata kes aktif setiap hari bagi minggu lalu meningkat sebanyak 100 peratus (naik ke 14 kes minggu lalu berbanding 7 kes minggu sebelumnya).
Bilangan pesakit Covid-19 related dalam rawatan menurun sebanyak 8 peratus (daripada 157 kes minggu sebelumnya kepada 144 kes minggu lalu).
Sementara itu, Dr. Joachim berkata, hanya tiga daerah yang mencatatkan penurunan kes mingguan iaitu Sipitang, Kalabakan dan Tenom.
Katanya, satu daerah mencatatkan kes mendatar dengan catatan dua kes sama seperti pada minggu epid 20 iaitu daerah Lahad Datu.
“Manakala 10 daerah yang lain tidak mencatatkan sebarang kes bagi minggu ini. Ini melibatkan daerah Putatan, Kudat, Pitas, Kuala Penyu, Kinabatangan, Tongod, Semporna, Sipitang, Kalabakan dan Tenom.
“Sebanyak 16 daerah yang mencatatkan peningkatan jumlah kes pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Keningau, Ranau, Kota Belud, Beaufort, Tambunan, Telupid, Tuaran, Kota Marudu, Nabawan, Beluran, Tawau dan Kunak,” katanya.