Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
“Pihak Kementerian bersama JKR Sabah sentiasa komited menyediakan kemudahan infrastruktur bagi kemudahan dan kesejahteraan rakyat di negeri Sabah.
“Tindakan intervansi sentiasa dilakukan seperti pemantauan yang rapi serta pengeluaran surat peringatan kepada kontraktor pakej kerja sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak.
“Kerajaan juga akan memudahcara sebarang permasalahan yang akan mengundang kelewatan projek seperti kekurangan bahan pembinaan terutama bitumen dan kelewatan pengalihan kemudahan utility,” kata beliau.
Shahelmey berkata, kerja penyenggaraan rutin iaitu kerja penyenggaraan berjadual seperti kerja tampalan lubang, kerja penyenggaraan bahu jalan, potong rumput, pembersihan parit, kerja pembersihan pembetung (culvert) dan kerja lain yang berkaitan adalah dilaksanakan mengikut pusingan seperti dalam kontrak perjanjian konsesi.
“Hanya kerja tampalan lubang dan penyenggaraan bahu jalan sahaja yang dilaksanakan serta merta selepas pemantauan oleh pihak konsesi.
“Kategori kerja penyenggaraan di dalam skop rutin ini tidak termasuk baikpulih dan pembinaan semula jalan akibat kerosakan struktur pavemen jalan,” kata beliau.
Menjawab persoalan ADUN Sebatik, beliau memberitahu bahawa Projek Jalan Serudong – Simanggaris – Kalabakan ini telah diluluskan dalam Rolling Plan Ke-3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah peruntukan persekutuan sebagai kerja awalan.
“Bagi kerja-kerja awalan ukur dan rekabentuk dengan kos sebanyak RM13 juta. Manakala kerja-kerja pembinaan fizikal, hala tuju akan ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan,” kata beliau ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Menjawab pertanyaan Rina Jainal (Kukusan), Shahelmey menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat.
“Pengambilan balik tanah dan pampasan struktur yang terlibat dalam jajaran Projek Naik Taraf Jalan Utara Baru, Tawau telah dihantar kepada Jabatan Tanah dan Ukur.
“Status terkini adalah jabatan masih menunggu maklumbalas daripada pihak JTU. Sebanyak 85 lot tanah telah diproses di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 dan 102 buah struktur yang terlibat dalam rezab jalan,” kata beliau.
Beliau turut memaklumkan kepada ADUN Kemabong bahawa jentera yang usang dan tidak lagi ekonomik untuk digunakan perlu dilupuskan kerana tempoh hayat jentera sudah melebihi 15 tahun.
“Proses ini dijalankan secara berfasa dan permohonan perlu dipohon kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan kelulusan pelupusan.
“Walau bagaimanapun, pihak JKR sedang berusaha dalam proses membuat pembelian jentera baru secara berperingkat bergantung kepada kelulusan Kementerian Kewangan Sabah,” kata beliau
Kepada pertanyaan daripada Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin (Nabawan), Shahelmey berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 1,210 buah jambatan di seluruh Sabah di bawah seliaan JKR Sabah.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 828 buah adalah jambatan separa kekal dan sementara yang perlu dinaik taraf kepada jambatan kekal yang selamat dan boleh digunakan sepanjang masa.
Bagi daerah Nabawan pula, beliau memaklumkan, terdapat sebanyak 64 buah jambatan yang masih perlu dinaik taraf.
“Kerajaan memang berhasrat untuk menggantikan kesemua jambatan tersebut kepada jambatan kekal dan akan dilaksanakan mengikut keutamaan bergantung dengan kapasiti kewangan Kerajaan.
“Penggantian jambatan-jambatan tersebut telah disenaraikan dalam program penggantian Jambatan D33 biayaan Kerajaan Negeri serta dalam Program Jambatan Uzur dan Sempit biayaan Kerajaan Persekutuan (Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah, KKDW) untuk pertimbangan dan kelulusan,” kata beliau.
Shahelmey turut menjawab pertanyaan Calvin Chong (Elopura) bahawa Pakej 27A Libaran Bypass merupakan Pakej Tambahan Yang dicadangkan di dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
“Walau bagaimanapun apabila konsep Project Delivery Partner (PDP) ditamatkan pada tahun 2019, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak meneruskan tiga pakej tambahan ini.
“Sekalipun begitu, Kerajaan Negeri akan memohon semula pakej-pakej tersebut ke dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
“Kementerian saya sedang menyediakan Kertas Kabinet untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet yang terdekat,” kata beliau.
Shahelmey berkata, Kerajaan juga amat prihatin terhadap isu keadaan jalanraya yang gelap dan berbahaya yang akan mempengaruhi keselamatan pengguna jalanraya.
“Ini termasuklah isu masalah lampu jalan yang tidak berfungsi ataupun menjadi “hazard” di jalanraya disebabkan pokok jatuh.
“Kementerian kami melalui JKR, sentiasa memantau situasi ini di sepanjang laluan jalanraya dan segera mengambil langkah bagi menyelesaikan kejadian seperti yang tersebut.
“Isu ini merupakan salah satu prioriti tinggi akan segera diselesaikan di lokasi bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan kepada pengguna jalanraya,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Shahelmey berkata, kerja- kerja naik taraf Jambatan Sg. Serudung Baru yg terletak di Jalan Maria, akan dilaksanakan bersekali dengan projek Menaik Taraf Jalan Maria Tawau yang telah disenaraikan 27 dalam RP3 RMK12 biayaan Kerajaan Persekutuan melalui kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW).





















