Andi (tengah) bersama tetamu jemputan dan penganjur bergambar kenangan selepas beliau merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kalabakan.
KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, beliau akan terus menyuarakan keperluan untuk menyegerakan pelaksanaan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, di sini dan juga jalan raya Kalabakan – Kalimantan, Indonesia.
Ini penting demi merancakkan pembangunan ekonomi di Kalabakan, katanya, sambil menambah perkara tersebut merupakan agenda terpenting baginya sebagai Ahli Parlimen di sini.
“Saya telah beberapa kali menyuarakan perkara tersebut termasuk di Parlimen kerana kita mahu ia dilaksanakan segera agar pembangunan infrastruktur dan sebagainya dapat kita rasai dengan lebih cepat kerana seperti yang kita lihat sekarang ini banyak kekurangan di daerah ini.
“Jadi dengan pembinaan CIQ dan jalan raya penghubung tersebut saya rasa kita akan dapat merancakkan ekonomi di daerah ini.
“Saya alan bawa perkara ini lagi pada sesi Parlimen yang akan bermula bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kalabakan, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, Andi yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, Kementerian Kerja Raya beberapa hari lalu telah turun ke Kalabakan untuk membuat tinjauan di kawasan yang dicadangkan dan ini baginya merupakan satu isyarat yang positif.
Mengenai perayaan selama dua hari Pesta Kaamatan Peringkat Daerah itu Andi berkata,
ia merupakan satu acara tahunan yang penting kerana dapat memperkukuhkan kebersamaan dan kesatuan di kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum, agama dan latar belakang.
“Kita dapat melihat semua kaum daripada pelbagai latar belakang bersama-sama merayakan Pesta Kaamatan,” ujar Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan itu.
Beliau berharap usaha dapat terus dibuat untuk memastikan semua bahasa, adat dan tarian tradisional terutamanya yang melibatkan suku kaum ini tidak dilupakan begitu saja.
“Zaman semakin berubah dan canggih, menyebabkan ada di kalangan generasi muda yang sudah lupa ataupun tidak tahu berkenaan adat resam masing-masing.
“Jadi ia harus dipelihara dan diperturunkan agar budaya suku kaum ini tidak lesap ditelan zaman.
“Ia juga harus diberikan perhatian kerana inilah kelebihan kita termasuk di daerah Kalabakan yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menarik para pengunjung dari luar datang untuk merasai sendiri keadaan di sini,” katanya.