Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 26 tahun dilaporkan hilang selepas jatuh ke dalam laut semasa memancing dari atas tongkang di sebuah jeti di Sepanggar, di sini, petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian berlaku di Jeti Sepanggar Chemical Industry, pada kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan dari sistem MERS999 mengatakan terdapat seorang mangsa jatuh ke dalam laut ketika menjalankan aktiviti memancing ikan.
“Menurut si pengadu, mangsa Anuar Abd. Hakim masuk ke kawasan tersebut tanpa pengetahuan dan memancing ikan di atas sebuah tongkang sebelum terjatuh ke dalam laut dan tidak timbul.
“Pasukan Bomba bergerak ke lokasi untuk mengambil maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan mangsa dilaporkan jatuh,” katanya.
Menurut Ordine, operasi SAR melibatkan 11 anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II(KUP) Sulastri Hassan dari BBP Kota Kinabalu, dengan bantuan empat anggota pasukan penyelamat dalam air (PPDA) Kota Kinabalu.
“Operasi SAR hari pertama dijalankan di pesisir pantai melalui kaedah surface water rescue bersama unit PPDA zon Kota Kinabalu.
“Mangsa masih belum ditemui. Operasi ditangguhkan pada jam 8.26 malam tadi dan di sambung pada hari ini,” katanya.































