Keadaan kereta jenis Proton Saga BLM yang terbabas sendiri dan terjunam ke dalam gaung di Ranau. – Ihsan Bomba
RANAU: Seramai 11 orang cedera manakala lima yang lain selamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas sendiri dalam dua kejadian berasingan di sini dan Tawau petang kelmarin.
Kejadian di sini melibatkan enam sekeluarga yang nyaris maut selepas kereta mereka terbabas sendiri dan terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kampung Sagindai, pada jam 4.46 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian tersebut melibatkan dua orang dewasa dan empat kanak-kanak.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Niel Thomson dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 35 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta Jenis Proton Saga BLM telah terbabas sendiri ke dalam gaung sedalam 10 meter.
“Terdapat enam orang mangsa terdiri daripada dua orang dewasa dan empat kanak-kanak terlibat dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba,” katanya.
Menurut Ridwan, seorang mangsa perempuan mengalami kecederaan telah dihantar oleh orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.30 petang, katanya.

Keadaan kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang terbabas sendiri ke tepi jalan di Tawau. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di TAWAU, 10 orang termasuk lima kanak-kanak mengalami kecederaan selepas kenderaan mereka terbabas sendiri di sini pada jam 5.30 petang kelmarin.
Ketua BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian yang melibatkan lima mangsa dewasa dan lima kanak-kanak itu berlaku di Jalan Dumpas-Merotai.
“Balai menerima panggilan kecemasan dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Zainal Putra Nuadin dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 42 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat 10 orang mangsa terlibat terdiri daripada 5 dewasa dan 5 kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba,” katanya.
Menurut Jemishin, pasukan Bomba bertindak memberi rawatan awal seterusnya menghantar mangsa ke Hospital menggunakan jentera EMRS Bomba dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 6.25 petang, katanya.





























