Operasi SAR dijalankan yang turut dibantu anjing pengesan Unit K9.
NABAWAN: Seorang wanita ditemukan lemas manakala dua lagi mangsa selamat dan tiga masih belum ditemui dalam insiden bot karam yang berlaku di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut, pada kira-kira jam 1 petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBT Faisal Ahmad berkata, mangsa yang ditemukan lemas berusia 26 tahun manakala dua mangsa yang terselamat adalah lelaki berumur 36 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun.
Katanya, tiga yang masih hilang terdiri daripada lelaki berumur 38 tahun iaitu salah seorang yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur 9 dan 7 tahun.
Menurut Faisal, bilik kawalan Sook menerima panggilan melaporkan terdapat bot karam di lokasi berkenaan petang kelmarin.
Menurut maklumat awal dari pemanggil, terdapat lima orang mangsa terlibat dan dua daripada mangsa berkenaan berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga orang lagi mangsa belum dijumpai.
Faisal berkata, sepasukan lapan anggota kemudiannya dihantar ke lokasi, dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan seramai tiga orang dan BBP Keningau seramai dua anggota. Turut membantu ialah anggota dari Unit K9 seramai tiga orang bersama anjing pengesan.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak 66 kilometer dari BBP Sook, pasukan bomba yang diketuai Pegawai Operasi, PBKII Shahril Sulaiman bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah Surface Searching di sekitar kawasan bot karam.
“Semasa SAR pada hari pertama, seorang mangsa wanita berusia 26 tahun telah ditemukan pada jam 3.15 petang oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR hari kedua iaitu hari ini dimulakan pada jam 8.42 pagi di sepanjang sungai dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer,” katanya.
Tambahnya, semasa SAR hari kedua dilaksanakan bilik kawalan BBP Sook menerima makluman bahawa terdapat seorang lelaki iaitu daripada kumpulan penduduk kampung yang turut serta dalam operasi SAR telah terjatuh ke dalam sungai dan hilang .
“Kejadian berlaku pada jam 4 petang semasa operasi SAR dijalankan melibatkan semua agensi dan orang kampung. Operasi SAR diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.





























