Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) diingatkan supaya mengamalkan disiplin kewangan apabila membelanjakan peruntukan bantuan seperti Bantuan Orang Susah (BOS).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain tanggungjawab memastikan peruntukan bantuan sampai kepada masyarakat yang disasarkan, ADUN dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) juga perlu melengkapkan dan mengemukakan laporan perbelanjaan mereka mengikut keperluan bagi membantu Kerajaan Negeri memantau keberkesanan dan capaiannya.
“Laporan itu juga penting untuk jabatan berkaitan menjejaki keberkesanan dan capaian bantuan itu serta untuk Kementerian Kewangan mengekalkan penarafan kewangan lima bintang Sabah, yang merupakan antara yang terbaik di negara ini.
“Laporan itu tidak direka untuk menyusahkan YB atau PPM, tetapi ia adalah salah satu langkah Kerajaan untuk memastikan peruntukan sampai kepada golongan atau penerima yang disasarkan,” kata Masidi semasa berucap pada penutupan taklimat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah dengan UPPM, di sini, hari ini.

Masidi berkata, pengagihan BOS iaitu peruntukan RM100,000 untuk setiap 73 ADUN serta penyerahan laporan perlu dilakukan secara konsisten, bukan disimpan dan dibelanjakan hanya pada penghujungnya tahun ini.
“Saya berharap semua PPM akan menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengagihkan BOS secara adil kepada orang ramai yang benar-benar memerlukan bantuan,” tambahnya.
Sementara itu, Masidi turut mengingatkan PPM supaya memastikan peralatan yang dipinjamkan kepada orang ramai melalui Program Homeward di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dijaga bagi memaksimumkan bilangan orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya dalam jangka masa panjang.
“Adalah menjadi harapan kami apabila peminjam atau pesakit itu pulih, peralatan itu kemudiannya boleh dipinjamkan kepada orang lain yang juga layak dan benar-benar memerlukan,” tambahnya.
Program Homeward menyediakan pesakit yang layak dengan peralatan penjagaan kesihatan yang penting seperti katil hi-lo, tilam riak, kerusi roda, mesin oksigen, sekatan wad, kerusi commode dan peralatan lain yang diperlukan oleh pesakit yang menjalani rawatan di rumah.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib dan Pembantu Menterinya, Datuk Flovia Ng.

























