Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KUNAK: Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, PPgB Mohamad Omarbatha berkata, kejadian berlaku di Jalan Kunak-Tawau, Batu 60, di sini, pada kira-kira jam 11.50 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam jam 11.54 pagi dan sepasukan enam anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Rosman Gari dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 18 kilometer dari BBP, didapati satu kemalangan melibatkan kenderaan jenis Isuzu Dmax bertembung dengan lori treler.
“Terdapat seorang mangsa lelaki, Amir Sarail tersepit di bahagian pemandu tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi.
“Manakala seorang mangsa perempuan mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum jentera tiba. Pemandu lori treler itu tidak mengalami sebarang kecerdaraan,” katanya.
Mohamad berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.27 tengah hari.





























