Kebakaran yang memusnahkan rumah dua tingkat di Tawau. – Ihsan Bomba
PAPAR: Dua buah rumah terbakar dalam kejadian berasingan di sini dan Tawau semalam.
Kebakaran di sini melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terletak di atas sebuah bukit di Kampung Tampasak, Kinarut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 9 malam.
Katanya, dia bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 9.19 malam.
“Setiba ditempat kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai itu, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 60×40 kaki terbakar 80 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan air kolah terbuka berhampiran kerana jentera bomba tidak dapat naik ke lokasi rumah tersebut yang berada diatas bukti,” katanya.
Menurut Rozlan, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.30 malam.
Operasi ditamatkan pada jam 11.14 malam.

Kebakaran melibatkan sebuah rumah di Papar.
Manakala di TAWAU, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat di Taman Nordin, Jalan Kuhara.
Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS999 pada jam 9.18 malam dan sepasukan anggota seramai 16 orang diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Zougrana Konin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 2.6 kilometer dari BBP, didapati rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 50×40 kaki terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran 400kaki, empat pancutan sumber air dari tangki jentera,” katanya.
Menurut Jemishin, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.43 malam.
Operasi ditamatkan pada jam 11.57 malam.



























