Bruno Fernandes menjaringkan gol buat United
MANCHESTER: Manchester United sebelah kaki untuk memburu tiket suku akhir Liga Europa apabila membenam Real Betis 4-1 dalam aksi pertama pusingan 16 akhir di Old Trafford, awal pagi tadi.
Kemenangan itu juga memadam igauan ngeri dimalukan 7-0 oleh Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Kesungguhan anak-anak buah Erik ten Hag untuk melupakan igauan Liverpool terserlah sejak awal, dan Marcus Rashford membuka jaringan seawal minit keenam.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan pelawat mencemaskan tuan rumah seketika apabila menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Ayoze Perez pada minit ke-32.
Begitupun memasuki babak kedua, United bagaikan sukar dibendung apabila menambah tiga lagi gol.
Antony meletakkan United di depan menerusi penyudah cantik pada minit ke-52, sebelum Bruno Fernandes meledak gol ketiga, enam minit berselang.
Wout Weghorst melengkapkan kemenangan selesa Reds Devils pada minit ke-83, sekali gus memberi bekalan selesa buat United apabila bertandang ke Sepanyol dalam aksi kedua, 17 Mac depan.
“Saya fikir pada babak pertama kami sepatutnya mendahului 3-0, tetapi ia menjadi 1-1. Hanya kerana satu kesilapan kami dihukum.
“Separuh masa kedua lebih baik, terutama gol-gol cantik dan persembahan bagus. Jadi, saya amat bersyukur (menang) selepas apa yang berlaku pada Ahad,” kata Ten Hag.































