Tun Juhar (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama Noorliza (dua dari kiri).
KOTA KINABALU: Festival Kesenian Kebudayaan Islam Bandaraya (KK i-Fest) 2023 akan berlangsung mulai 10 hingga 12 Mac ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata antara tarikan utama KK i-Fest adalah penggunaan teknologi Virtual Reality (V.R) bagi menunjukkan suasana perjalanan Madinah ke Makkah di Arafah dengan kerjasama Sabah.net.
“Program di Padang Merdeka ini akan diserikan dengan kehadiran beberapa selebriti dakwah antaranya Okie Setiana Dewi, Das’ ad Latiff, Habib Nael Ben Tahir dan PU Azihal Bangsawan.”KK i-Fest bertujuan memeriahkan suasana sambutan bulan Ramadhan dengan pelbagai pengisian program seperti ceramah agama, forum, sukan memanah, penjualan pakaian, free market dan pertandingan sirah Rasulullah.
“Selain itu, pertandingan khat juga akan dilaksanakan dan setakat ini sebanyak 70 penyertaan diterima daripada anak-anak sekolah serta kategori terbuka,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Turut membuat kunjungan hormat kepada Tun Juhar adalah Pertubuhan Penyatuan Islam Sabah diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Nani Sakam bersama rombongan.
Tujuannya adalah untuk memperkenalkan ahli jawatankuasa organisasi yang ditubuhkan sejak tahun 2017 dan mempunyai lebih 1,000 ahli dan giat dalam aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat di seluruh Sabah.





























