Keadaan seorang daripada mangsa yang terlibat. – Ihsan Bomba
TAWAU: Empat individu terselamat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua kenderaan di sini kelmarin
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu melalui talian MERS999 pada jam 2.29 petang kelmarin.
“Kita mendapat makluman satu kemalangan berlaku di lampu isyarat Jalan Padang, Port Tawau, lebih kurang satu kilometer dari balai dan sepasukan seramai lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Suheizan Sahak bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Avanza dan Toyota Hilux Raptor.
“Terdapat tiga orang mangsa di dalam Toyota Avanza dan seorang mangsa di dalam Toyota Hilux Raptor. Mujur, tiada kecederaan, hanya trauma yang dialami oleh mangsa,” katanya.
Jemishin berkata, pasukan EMRS hanya membuat pemeriksaan kepada mangsa dan mengeluarkan mangsa dari kenderaan kerana trauma.
Tambahnya, mangsa yang trauma dibawa ke Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk pemeriksaan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang,” katanya.





























