Mustapha (dua dari kanan) bersama Ahli-ahli Parlimen yang hadir pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 kelmarin.
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud menyokong penuh Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menyentuh secara spesifik tentang sokongan penuh terhadap penyelesaian isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Mustapha, antara yang disebut adalah pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengikhtiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak, menambah baik tahap pemberian khas serta memperkasa ekonomi di seluruh negara khususnya Sabah dan Sarawak.
“Yang di-Pertuan Agong juga menekankan dalam titah Baginda mengenai memperkasa pentadbiran undang-undang serta pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak. Baginda juga menambah betapa pentingnya Infrastruktur asas berkualiti dan perhubungan akses luar bandar wajar diberi perhatian.
“Parlimen Sepanggar yang terdiri daripada kawasan bandar dan luar bandar sememangnya amat memerlukan infrastruktur asas dan jaringan jalanraya. Krisis air dan banjir yang melanda hampir setiap minggu memang menghambat kehidupan majoriti rakyat di Sepanggar.
“Mewakili warga Sepanggar kami menyokong penuh saranan Titah Yang di-Pertuan Agong dan memohon agar kementerian dan jabatan serta agensi berkaitan di iperingkat Persekutuan dan Negeri dapat memberi perhatian serius dengan isu-isu rakyat ini,” kata Mustapha yang juga Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 kelmarin.
Menurut beliau, sebagai initiatif awal pejabat Parlimen telah mendengar taklimat daripada kementerian dan jabatan yang terbabit.
“Namun buat masa ini kami tidak berpuas hati dengan status perlaksanaan projek-projek yang sedang dalam perlaksanaan.
“Sebagai langkah seterusnya kami memohon agar diadakan Mesyuarat Koordinasi antara Ahli-ahli Parlimen dan DUN untuk kita sama-sama saling membantu dalam mencari solusi jangkamasa pendek dan panjang untuk mengatasi krisis air, kesesakan trafik dan banjir kilat di kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu khususnya Parlimen Sepanggar.
Semoga usaha bersepadu ini akan merealisasikan visi dan misi Sabah Maju Jaya dan Gagasan Malaysia Madani.





























