Arthur (kanan) berbincang dengan Arifin mengenai kerjasama di antara kedua-dua kementerian.
KOTA KINABALU: Beberapa program dirancang bagi memastikan rakyat Sabah menikmati perkembangan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dalam usaha menterjemah dasar STIE kepada rakyat.
“Saya ingin melihat supaya dasar STIE di peringkat persekutuan boleh diterjemahkan dengan kerjasama erat khususnya sampai ke peringkat negeri.
“Oleh itu, saya dan pihak KSTI berbincang serta merancang beberapa program kerjasama untuk sepanjang tahun ini dari segi infrastruktur dan meningkatkan kolaborasi di antara kedua-dua kementerian,” ujar beliau.
Mengetengahkan kejayaan dua program besar yang dilaksanakan oleh MOSTI di seluruh Malaysia pada tahun lalu, beliau optimis program seumpama akan diteruskan.
“Sebelum ini, kita sudah melaksanakan program yang baik untuk Sabah iaitu Program Techlympics dalam bentuk pertandingan yang mampu meningkatkan inovasi dalam kalangan belia dan beliawanis untuk menceburi bidang sains dan teknologi.
“Selain itu, pada tahun lalu kita juga telah melaksanakan Program Upskilling for Deeptech untuk meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja dalam bidang teknologi dan mendapat sambutan di luar daripada jangkaan.
“Sebagai contoh pada tahun lalu, kuota yang pada awalnya diberikan hanya 300 tetapi atas penyertaan kita tingkatkan kepada 500 dan akhirnya kita mendapat 534 penyertaan.
“Dengan pengalaman yang baik dan pensijilan, semua peserta telah mendapat peluang pekerjaan dalam bidang teknologi.
“Oleh itu, saya berharap selepas pembentangan belanjawan 24 Februari ini, MOSTI mendapat peruntukan lebih besar untuk kita meneruskan program-program seperti ini dengan kerjasama dengan KSTI demi kepentingan masyarakat di negeri ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Sementara itu, Arifin turut merakamkan penghargaan dan menyatakan kesediaan pihaknya dalam kolaborasi tersebut khususnya dalam usaha memasyarakatkan sains dan inovasi di Sabah menerusi penubuhan Pusat Sains Sabah dan memperkasa fungsi Balai Cerap Al Biruni Tanjung Dumpil.































