Ewon (empat dari kiri, depan) dan Firdaus (empat dari kanan, depan) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta KAK 2023 Sabah.
KOTA KINABALU: Seramai 30 orang usahawan tempatan menyertai Kursus Asas Keusahawanan (KAK) Sabah 2023.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Datuk Ewon Benedick berkata, kursus anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada usahawan dan bakal usahawan mengenai aktiviti keusahawanan.
“KAK ini diadakan selama dua hari bermula hari ini (28 Januari) dengan penyertaan seramai 30 usahawan Sabah yang mana INSKEN telah melantik Pensyarah UiTM, Dr Rozita Mohammed sebagai Penceramah dan Penasihat Perniagaan.
“Ini merupakan kursus jangka pendek pertama INSKEN pada tahun ini yang mana INSKEN juga mengadakan kursus jangka panjang bermula empat hingga enam bulan yang akan diadakan selepas ini,” katanya ketika ditemui media sejurus menghadiri sesi libat urus bersama peserta Kursus Asas Keusahawanan INSKEN di sini pada Sabtu.
Pada majlis tersebut beliau turut memaklumkan pewujudan pejabat INSKEN Sabah yang bakal beroperasi sedikit masa lagi.
“Pejabat ini akan beroperasi di daerah Penampang dan pada ketika ini INSKEN dalam proses dokumentasi dan diharap dalam masa dua atau tiga bulan lagi pejabat ini akan boleh dirasmikan,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.