Anggota bomba dan polis memantau keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Satu kejadian pergerakan tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan bukit Kampung Lebak Moyoh di sini pagi tadi.
Pasukan bomba diketuai Komander Operasi, PPgB Muhammad Syazwan Latun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.34 pagi.
Setiba di sana, mereka melakukan pemantauan di lokasi dan menasihati penghuni di kawasan sekitar untuk berpindah sekiranya pergerakan tanah terus berlaku.
Pasukan bomba juga bertindak memasang sawar-sawar di sekitar lokasi kejadian dan berada di lokasi untuk sebarang kemungkinan berlaku runtuhan tanah yang lebih besar.
Pada jam 11 pagi, berdasarkan penelitian dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), setakat ini hanya sebuah rumah yang diarahkan penghuninya untuk mengosongkan rumah.
Kerja-kerja pemantauan dan pemeriksaan tetap akan dijalankan oleh pihak polis dan pasukan bomba secara berkala.
Operasi ditamatkan pada jam 12.44 tengah hari.































