Dr. Maximus (lima dari kiri) bersama Penasihat Agung PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan-timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (tiga dari kiri) dan Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai (dua dari kiri), Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai dan para pemimpin kanan lain mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua ahli dan rakyat Sabah ya g merayakannya.
KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili telah diberikan kepercayaan penuh untuk terus menerajui Parti Bersatu Sabah (PBS).
Beliau menerima undian sebulat suara pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti di sini, hari ini.
Dengan ini, Dr. Maximus yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada pemilihan parti pada Jun tahun lepas, akan terus memimpin parti.
Pada Persidangan Perwakilan PBS ke-36 dan ke-37, beliau telah mengumumkan akan berundur sebagai Presiden parti dalam tempoh tiga tahun.
Mengucapkan terima kasih kepada ahli atas sokongan dan kepercayaan berterusan mereka, Dr. Maximus berkata, ianya mengambil masa untuk mengenal pasti penggantinya.
Selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama tahun ini, Dr. Maximus berkata, beliau akan berpegang pada rancangan asal untuk melepaskan jawatan Presiden dalam tempoh tiga tahun, atau, tambahnya: “… seperti yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi.”
“Walaupun saya telah mengumumkan untuk berundur pada tahun pemilihan (PBS) akan datang, (tetapi) ahli Majlis Tertinggi mengundi saya untuk kekal.
“Ini akan memberi PBS masa yang cukup untuk mengenal pasti pengganti saya,” katanya.
Dr. Maximus menambah, terdapat ramai pemimpin muda dalam parti yang mampu membina dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi, apabila tiba masanya.