Dr. Maximus, Dr. Jeffrey, Yong dan Pandikar
KOTA KINABALU: Tindakan YB Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah yang mengumumkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah membuktikan wujudnya gerakan awal yang telah dibuat bersama Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menggugat kestabilan politik di negeri ini.
Demikian kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus J Ongkili, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam kenyataan bersama mereka hari ini.
Kata mereka, tindakan terbaru ini adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal gerakan tersebut pada 5 Januari 2023.
“Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpandukan kepada Perlembagaan Negeri.
“YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan.
“Pada masa yang sama, kami dengan ini mengesahkan bahawa Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah daripada GRS berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“GRS merupakan sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah.
“GRS juga menghargai sokongan majoriti ADUN-ADUN lain terhadap Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri termasuk daripada sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), ADUN-ADUN BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN-ADUN Dilantik.
“Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu,” kata mereka yang juga Timbalan Pengerusi GRS.
Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak, tegas mereka.































