TAWAU: Seorang ahli perniagaan disiasat berikutan video tular pistol diacukan semasa pertengkaran dengan tukang tarik kereta.
Dalam video kejadian di sini, seorang lelaki dilihat mengacukan pistol semasa bertengkar dengan tukang tarik kereta.
Lelaki itu dilihat memegang pistolnya ketika dia bercakap dengan beberapa lelaki sebelum memasukkan senjata itu ke belakang seluarnya.
Difahamkan lelaki itu tiba di tempat kejadian berikutan panggilan daripada rakannya, yang keretanya sedang ditarik.
Menurut The Star, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan kejadian yang berlaku di Taman Jambu di Jalan Sin Onn, kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, pihaknya menerima dua laporan polis – satu daripada ahli perniagaan dan satu lagi daripada tukang tarik kereta.
“Selepas mendapat keterangan daripada kedua-dua lelaki itu, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada isu penarikan kereta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, ahli perniagaan itu mempunyai lesen senjata api dan pistol yang didakwa digunakan dalam kejadian itu tidak dirampas.
“Kami akan mengemukakan kertas siasatan kami kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut,” kata Jasmin sambil menambah bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.





























