Dr. Jeffrey Kitingan
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mencadangkan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf Pesta Kaamatan sebagai Perayaan Kebangsaan.
“Pesta Kaamatan telah dirayakan lebih 60 tahun dan sudah boleh dikatakan program kebangsaan dan ia juga diraikan di seluruh dunia seperti; Australia, New Zealand, Scotland dan banyak lagi termasuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Perayaan ini membawa dunia lebih dekat dengan sifat-sifat “Nationalisme” yang tertanam di hati kita.
“Perdana Menteri ada bersama-sama kita pada hari ini, mungkin sudah tiba masanya untuk Kerajaan Malaysia mengiktiraf Perayaan Pesta Kaamatan sebagai Perayaan Kebangsaan,” kata Dr. Jeffrey pada Majlis Pembukaan Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah di dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini, hari ini.

Selain itu, Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Presiden KDCA mencadangkan agar Pusat Kebudayaan Borneo ditubuhkan bagi mempamerkan kepelbagaian budaya di Sabah serta persembahan yang kerap untuk pengunjung luar dan dalam negara.
Terdahulu, beliau menyatakan kegembiraannya dan bersyukur kerana KDCA mampu menikmati pembangunan dan transformasi di dewan Hongkod Koisaan ini setelah menerima bantuan peruntukan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lalu bagi melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf bangunan dewan tersebut.

“Rakyat Sabah seharusnya berbangga dengan pelbagai nikmat pembangunan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Hasilnya, KDCA bukan sahaja mampu menarik lebih ramai penduduk tempatan tetapi juga para pengunjung dan pelancong dari luar negeri untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“Pencapaian yang dikecapi ini sekaligus berupaya menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di Sabah dengan adanya kestabilan sosial, politik, ekonomi dan pembangunan yang teratur serta mampan.
“Oleh yang demikian, amat penting bagi kita menyedari bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya suatu perayaan semata-mata tetapi merupakan simbolik kepada perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras pegangan pelbagai lapisan rakyat Sabah selama ini.

“Perpaduan merupakan aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Dr. Jeffrey berkata, program Seeds’ Spirit Revival yang diadakan oleh Jabatan Pertanian Sabah pada 21 Mei lepas sempena Hari Biodiveristi Sedunia bertujuan untuk memelihara tanaman-tanaman yang hampir pupus dan sebagai salah satu inisiatif bagi mengatasi isu keterjaminan makanan.
“Secara tidak langsung, ianya mengingatkan kita kepada pengorbanan Puteri Huminodun yang sanggup dijadikan korban bagi menyelamatkan kaumnya daripada kebuluran serta memulihkan semula keadaan bumi daripada bencana pada ketika itu.

“Justeru itu, kita mesti bermuafakat, berganding bahu dan berjuang teguh bersama dalam mempertahankan dan menjaga alam semula jadi serta menangani pelbagai isu seperti kadar inflasi, perubahan iklim dan kekurangan bekalan makanan tatkala menikmati arus permodenan.
“Sebagai penduduk bumi yang kita cintai ini, kita harus bersyukur dengan khazanah yang dikurniakan oleh Tuhan dengan mempraktikkan amalan-amalan yang sepatutnya dalam kehidupan seharian untuk memelihara dan memulihara alam sekitar,” ujarnya.
Selain daripada itu katanya, satu jawatankuasa yang teridiri daripada beberapa agensi kerajaan telah ditubuhkan bertujuan untuk menyenaraikan Pesta Kaamatan atau tujuh produk kepada UNESCO.

Beberapa siri mesyuarat telah diadakan dan “forum’ yang pertama telah dilaksanakan baru-baru ini dan ia akan diteruskan sehingga tujuh forum terlaksana, tambahnya.































