Dr. Joachim (tiga dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Jonnybone, sambil disaksikan oleh Samad (kiri), Masiung (dua dari kiri) dan Celestine (tiga dari kanan) dalam sambutan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Telupid
TELUPID: Kerajaan akan terus melaksanakan program-program bagi membantu meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di daerah ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau melihat Telupid berpotensi untuk dibangunkan memandangkan kedudukannya sebagai daerah perantaraan yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Sandakan.
Katanya, program-program ini secara langsung akan membantu merancakkan lagi ekonomi daerah ini.

Dr. Joachim (dua dari kanan) menyempurnakan upacara ‘mongomot’ padi bersama Samad (tiga dari kiri), Masiung (empat dari kiri), Celestine (tiga dari kanan) dan Jonnybone (kanan) sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Telupid.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Telupid yang diadakan Dewan Masyarakat Telupid, kelmarin (19 Mei).
Berharap semua yang merayakan Pesta Kaamatan menghayati tema perayaan tahun ini iaitu Kaamatan Membudayakan Perpaduan, beliau berkata, tema tersebut bertepatan dengan usaha Kerajaan dalam menyatupadukan etnik Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) bersama dengan etnik/ suku lain yang terdapat di negeri menerusi perayaan Pesta Kaamatan ini.

Dr. Joachim (belakang, empat dari kiri) dan para jemputan lain merakamkan gambar kenangan bersama Johan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Daerah Telupid, Doren Olivia Gilbert (tengah), pemenang tempat kedua, Magdalena Dinoh (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Malshanna Trixie Ellixius (kanan).
“Kaamatan adalah masa untuk kita berkumpul dan bersama-sama meraikan kesyukuran kepada Tuhan di atas hasil tuaian ataupun kerja kita pada tahun ini.
“Bersesuaian dengan tema pada tahun ini, Kaamatan Membudayakan Perpaduan dapat menyatupadukan kita semua tidak kira kecil besar, tua dan muda dari segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Dr. Joachim turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid yang juga Setiausaha Politik kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jonnybone J. Kurum atas pelaksanaan sambutan Pesta Kaamatan Daerah Telupid dengan jayanya.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Negeri Sabah yang juga ADUN Labuk, Samad Jamri; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) merangkap ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah; Pegawai Daerah Telupid merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Telupid, Celestine Jetony; Ketua-ketua jabatan, Pengerusi KDCA daerah Telupid, pemimpin-pemimpin kampung dan pengerusi JPKK.































