Keadaan kebakaran yang memusnahkan rumah pekerja 22 pintu di Inanam pagi tadi.
KOTA KINABALU: Sederet rumah pekerja 22 pintu musnah terbakar di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Jalan Tuaran Batu 7, Inanam, pada kira-kira jam 7 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 7.12 pagi dan sepasukan 13 anggota dari BBP Lintas dan lapan anggota dari Balai Bantuan BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja 22 pintu jenis kontena (besi) berukur 10×20 kaki setiap unit telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 100 kaki empat pancutan dan satu aliran salur bantu mula sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berdekatan,” katanya.
Menurut Agustavia, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.40 pagi.
Operasi ditamatkan pada jam 9.29 pagi.
Sementara itu, di KUDAT, sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal terbakar di Kampung Tanjung Kapor, pada kira-kira jam 4 petang tadi.
Ketua BBP Kudat, PPgB Ishak Jabas berkata, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 4.27 petang dan sepasukan tujuh anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK I KUP Mohd Saidi Tabin bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP itu, didapati sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal anggaran keluasan 20’X30’ kaki telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200’ kaki dua pancutan dan sumber air didapati daripada pili bomba berdekatan,” katanya.
Kata Ishak, tiada mangsa terlibat dilaporkan, dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.45 petang.
Operasi ditamatkan pada jam 5.11 petang.































