Pasukan EMRS Bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KENINGAU: Enam orang termasuk dua kanak-kanak cedera selepas kenderaan mereka terbabas masuk ke dalam gaung dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 14, Jalan Keningau-Sook, pada jam 3 petang.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi MERS999 dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Leong Hoi Min dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 23 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo telah terbabas sendiri masuk ke gaung sedalam 15 meter.
“Terdapat enam orang mangsa terlibat yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan satu kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba,” katanya.
Menurut Sharudy, pasukan EMRS Bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum menghantar mereka ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 4.27 petang, katanya.





























