Seorang wanita disamun ketika hendak memasuki ke dalam keretanya dalam satu kejadian dekat Jalan Mokhtar, Kapar di Klang, Selangor, Khamis.
KLANG: Seorang penyelia pasar raya mini menempuh detik menakutkan apabila disamun lelaki berparang dan berpelitup muka yang menaiki sebuah kereta di Jalan Mokhtar Kapar di sini, Khamis.
Kejadian kira-kira pukul 7 petang itu berlaku ketika wanita berusia 50-an berkenaan sedang menuju ke keretanya di parkir tepi jalan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kes yang tular dalam media sosial itu pukul 9.23 malam Khamis.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menaiki kereta Honda City berwarna perak.
“Ketika kejadian, lelaki berpakaian gelap berkenaan memakai pelitup muka dan bertopi.
“Suspek kemudian bertindak menarik beg tangan mangsa lalu melarikan diri dengan kereta dinaikinya,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Tambah Mohd. Khairi, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan termasuk mempergiatkan usaha mengesan suspek.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Khairolazuan Mohd. Supian di talian 0111-6937331 atau balai polis berdekatan,” katanya.





























