Tun Juhar (tengah) bergambar kenangan bersama Arthur (empat dari kiri) dan rombongannya.
KOTA KINABALU: Lebih 500 orang telah menyertai Program Techlympics dan Program Upskilling for Deeptech & Futureskills pada tahun 2022.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pada tahun lalu program tersebut mendapat 300 penyertaan namun atas permintaan luar biasa kuota telah ditingkatkan sehingga sambutan pendaftaran mencecah 533 orang.
“Kadar pengambilan pekerjaan bagi para peserta yang telah mengikuti program tersebut adalah sebanyak seratus peratus di syarikat-syarikat berkaitan dan ini merupakan kolaborasi baik antara pihak persekutuan serta kerajaan negeri.
“Selain itu, MOSTI juga dalam perancangan menjayakan Program Kembara Sains Borneo yang akan menjelajah ke seluruh Sabah bagi meningkatkan minat dan kesedaran masyarakat dalam bidang sains, teknologi serta inovasi,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu.
Beliau turut memaklumkan MOSTI akan berusaha membantu mengembangkan teknologi inovasi khususnya di kawasan luar bandar sehingga ke peringkat akar umbi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Azlikamil Napiah.































