SHAH ALAM (Bernama): Sebanyak 18,451 penyakit berkaitan jerebu dikesan sepanjang tempoh Ogos hingga Oktober lepas, Dewan Undangan Negeri Selangor dimaklumkan hari ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata jumlah berkenaan merangkumi tiga jenis penyakit berkaitan jerebu iaitu jangkitan saluran pernafasan (URTI) sebanyak 15,554 kes, asma (2,305 kes) dan konjunktivitis dengan 592 kes.
“Berdasarkan pemantauan data penyakit berkaitan jerebu ini, Klinik Kesihatan (KK) Kota Damansara mencatatkan kes URTI tertinggi, iaitu 4,525 kes, manakala KK Seksyen 7 Shah Alam mencatatkan kes asma dan konjungtivitis tertinggi, masing-masing sebanyak 1,053 kes dan 173 kes.
“Kedua-dua fasiliti ini terletak di daerah Petaling. Walau bagaimanapun, data ini hanya melibatkan fasiliti sentinel yang dipantau dan tidak mewakili keseluruhan kes bagi setiap daerah atau negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tungku) yang ingin tahu kadar kes respiratori dan penyakit berkaitan mengikut daerah bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2026 susulan jerebu yang melanda negara.
Jamaliah berkata Selangor memandang serius kejadian pencemaran jerebu rentas sempadan yang berulang saban tahun dan menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan diplomatik secara tegas dan proaktif melalui hubungan dua hala dengan negara jiran.
Beliau berkata pihaknya turut menyokong mekanisme kerjasama ASEAN bagi memastikan tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di kawasan punca.
“Keberkesanan kerjasama di peringkat Persekutuan ini juga akan diperkukuh di peringkat negeri melalui tindakan nyata oleh agensi terlibat dalam mencegah pembakaran terbuka.
“Ini termasuk memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan pemadaman segara dapat dilaksanakan di kawasan-kawasan berisiko tinggi terutama di tanah gambut,” katanya. — BERNAMA
































