KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan melaksanakan saringan latar belakang pekerja asing menerusi sistem bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah sebelum dibenarkan memasuki negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata langkah itu antara mekanisme saringan untuk memastikan pekerja asing yang dibawa masuk bebas daripada rekod jenayah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini di negara ini.
“Kita sedia maklum dengan pelbagai insiden berlaku baru-baru ini. Mana-mana pekerja asing yang mahu digaji perlu melalui proses ditetapkan, dan proses-proses ini harus diguna pakai oleh majikan yang mahu menggaji pekerja asing.
“Oleh sedemikian, saya percaya kita akan sering kali melihat cara-cara terbaik untuk kita memastikan insiden-insiden yang telah disebutkan tadi dapat kita kurangkan untuk kita memastikan keselamatan pekerja warganegara kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai langkah kerajaan memastikan pekerja asing diberikan kesedaran mengenai undang-undang dan keselamatan di Malaysia berikutan insiden seperti anggota polis putus tangan ditetak dan remaja 15 tahun dipukul warga asing.
Sementara itu, menjawab soalan asal William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai langkah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, beliau berkata kerajaan menetapkan unjuran penurunan nisbah pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) daripada 13 peratus pada 2026 kepada 10 peratus pada 2030.
Khairul Firdaus berkata siling pengambilan pekerja asing dijangka dikurangkan daripada 2.248 juta pada 2026 kepada 1.788 juta pada 2030, selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sehingga 15 Okt lepas, katanya seramai 2.082 juta pekerja asing pemegang PLKS direkodkan dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), manakala baki siling kuota nasional bagi 2026 ialah 241,178.
Beliau berkata kerajaan juga memansuhkan pengiraan peratusan kuota penggajian pekerja asing secara sektoral dan akan menggunakan unjuran siling penggajian tahunan seperti ditetapkan dalam RMK13.
Mengenai usaha mengutamakan pekerja tempatan, beliau berkata majikan diwajibkan mengiklankan kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs sekurang-kurangnya 14 hari bekerja serta mendapatkan kelulusan awal di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 sebelum memohon kuota pekerja asing.
Kerajaan turut menggalakkan penggunaan teknologi, automasi dan mekanisasi serta melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula menerusi HRD Corp, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. — BERNAMA
































