Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya dalam Belanjawan Sabah 2027.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata peruntukan besar akan terus disalurkan bagi menangani isu berkenaan menerusi perancangan dan pelaksanaan projek secara berperingkat.
Beliau berkata penyelesaian masalah bekalan air memerlukan perancangan jangka panjang, dengan beberapa projek dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.
“Masalah bekalan air bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana pelaksanaan projek berkaitan mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Deepavali di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.
Mengenai penyediaan Belanjawan Sabah 2027, Masidi berkata ia perlu mengambil kira kedudukan hasil negeri bagi memastikan perancangan perbelanjaan selaras dengan kemampuan kewangan kerajaan.
Katanya, pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik penting bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah serta menepati keutamaan pembangunan negeri.
“Dalam menyediakan Belanjawan 2027, kita perlu memastikan anggaran perbelanjaan bersesuaian dengan hasil negeri. Pengurusan kewangan yang baik amat penting supaya setiap peruntukan dapat dimanfaatkan mengikut keutamaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, baki peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan yang berpotensi diterima Sabah kepada hampir RM8 bilion.
Bagaimanapun, Masidi berkata peruntukan tambahan itu masih dalam proses memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Kerajaan Negeri kini menunggu penyaluran peruntukan berkenaan dan berharap ia dapat diterima menjelang penghujung tahun ini.
“Peruntukan tambahan itu akan dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan negeri demi meningkatkan kesejahteraan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.






























