JAKARTA (Bernama): Bermula sebagai perniagaan perikanan keluarga secara kecil-kecilan di Sandakan, Sabah, usahawan Nur Hayati berjaya mengembangkan jenama produk makanan laut keringnya, Naafee, ke lebih 10 negara di Asia, Eropah dan Timur Tengah.
Daripada dijadikan snek ketika menikmati kopi di negara Arab hinggalah digunakan sebagai ramuan dalam hidangan Korea seperti kimbap dan sup, produk Naafee kini menembusi pasaran antarabangsa jauh melangkaui perairan Sabah.
Bagi Nur Hayati yang juga pengarah urusan merangkap pengasas bersama Magnawave Sdn Bhd, syarikat pengeluar jenama makanan laut Naafee, perjalanan itu bermula daripada perniagaan perikanan keluarganya pada 1990-an sebelum beliau menceburi bidang pemprosesan makanan pada 2015 dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa pada 2019.
Nur Hayati ditemui Bernama pada pameran SIAL InterFOOD di Jakarta baru-baru ini, ketika syarikatnya menjadi antara sembilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Sabah yang dibawa oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) untuk mempamerkan produk makanan dan minuman menerusi Pavilion Sabah.
Sebelum jenama Naafee menembusi pasaran antarabangsa, sumber rezeki keluarga Nur Hayati bergantung kepada hasil laut apabila datuk serta bapanya yang bekerja sebagai nelayan, membekalkan makanan laut segar dan kering kepada pelanggan.
“Datuk saya seorang nelayan, begitu juga bapa saya. Kami membekalkan makanan laut segar ke pasaran tempatan, manakala produk kering dijual tanpa pembungkusan,” katanya.
Bagaimanapun, harapan keluarganya untuk menembusi pasaran luar negara tidak kesampaian pada 1990-an apabila seorang pembeli dari negara jiran gagal menjelaskan bayaran, menyebabkan bapanya keberatan untuk meneruskan usaha eksport.
Beliau berkata walaupun berdepan kekecewaan itu, bapanya tetap meneruskan perniagaan keluarga dan menggalakkannya yang juga anak sulung, untuk mewarisi perniagaan berkenaan, meskipun selepas menamatkan pengajian dan berkhidmat dalam sektor kerajaan.
Nur Hayati berkata beliau memilih untuk menceburi bidang pemprosesan makanan daripada mengambil alih operasi perikanan keluarga, dengan menumpukan kepada produk makanan laut kering yang lebih mudah diangkut serta tidak memerlukan kemudahan penyimpanan khusus seperti makanan laut segar atau sejuk beku.
“Makanan laut segar dan sejuk beku memerlukan kemudahan penyimpanan yang sesuai, tetapi produk kering lebih mudah diangkut. Sebab itulah saya memberikan tumpuan kepada pemprosesan makanan laut kering,” katanya.
Pada 2015, beliau menubuhkan sebuah kilang pemprosesan makanan dengan hanya tiga pekerja sebelum operasi kilang ini berkembang sehingga mampu menggaji kira-kira 45 pekerja, susulan peningkatan pengeluaran dan permintaan dari luar negara.
Beliau berkata perubahan berlaku pada 2016 selepas menyertai pameran perdagangan di The Mines, Kuala Lumpur, dengan mengedarkan sampel produk yang menarik perhatian seorang pembeli dari Jepun.
“Pembeli dari Jepun itu menghubungi saya selepas menerima sampel produk menerusi maklumat yang tertera pada pelekat produk,” katanya.
Beliau berkata pertemuan itu membuka ruang kepada syarikatnya untuk memahami keperluan pengujian produk dan pengawetan yang lebih ketat, sekali gus membantu membangunkan produk yang mampu bertahan sehingga dua tahun.
Nur Hayati berkata pengalaman itu menunjukkan kelemahan aspek pembungkusan produk keluaran syarikatnya, sekali gus mendorong beliau mendapatkan bimbingan daripada sebuah agensi kerajaan Sabah yang terlibat dalam pembangunan usahawan tempatan.
“Apabila saya bertemu dengan agensi itu, mereka memberitahu produk saya berkualiti, tetapi pembungkusannya belum menepati standard. Sejak itu, kami mula memberikan tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta penambahbaikan pembungkusan bagi menjadikan produk lebih menarik,” katanya.
Nur Hayati berkata sokongan MINDET, khususnya menerusi penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa telah membantu syarikatnya mendapat pendedahan kepada pembeli luar negara, meskipun kilang, mesin dan kemudahan pengeluaran dibiayai menggunakan sumber kewangan sendiri.
Usaha penambahbaikan itu membuahkan hasil pada 2019 apabila Naafee mula mengeksport produknya ke Korea Selatan dan Jepun, dengan penghantaran ke pasaran Korea mencecah kira-kira empat kontena setahun bergantung pada jumlah pesanan.
Selain produk istimewanya berasaskan udang kering, Magnawave turut menawarkan pelbagai produk makanan laut lain termasuk ikan bilis kering, sotong, abalon dan gamat, selain ikan, udang, ketam serta produk makanan laut dalam bentuk sejuk beku.
Beliau berkata penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa di Jerman, Thailand, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu turut memperluas pendedahan syarikatnya kepada pembeli luar negara, termasuk pelanggan di Belanda.
Nur Hayati berkata perubahan daripada menjual makanan laut kering tanpa pembungkusan di Sandakan kepada membangunkan jenama yang dieksport ke lebih 10 negara merupakan lembaran baharu dalam legasi perikanan keluarganya sejak tiga generasi, sekali gus merealisasikan impian menembusi pasaran antarabangsa. — BERNAMA




























