Ewon Benedick
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa mengekalkan peruntukan sekurang-kurangnya RM76 juta bagi Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dari 2026 hingga 2030.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan itu penting bagi memastikan kesinambungan program berkenaan yang menjadi antara program utama Agenda Ekonomi Bumiputera di Sabah.
Beliau berkata PANTAS yang dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) menerima peruntukan keseluruhan RM202.45 juta sepanjang RMK10 hingga RMK12.
Bagaimanapun, katanya, siling peruntukan bagi RMK13 hanya RM10 juta, termasuk RM1 juta yang sudah disalurkan bagi 2026.
“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengekalkan jumlah peruntukan pelaksanaan PANTAS bagi RMK13 (2026-2030) sepertimana peruntukan bagi RMK12 (2021-2025), iaitu sekurang-kurangnya RM76 juta atau tidak kurang daripada RM15 juta setahun,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah turut mencadangkan supaya fungsi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di bawah JPM dimurnikan bagi membolehkan bahagian itu memantau pelaksanaan program khusus untuk Sabah, termasuk PANTAS.
“Saya turut mencadangkan agar BHESS dipertanggungjawabkan untuk memantau Program Khas Anak Negeri Sabah,” katanya.
Mengenai biasiswa pendidikan, beliau menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 untuk menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, membabitkan 4,200 pelajar setiap tahun.
Katanya, Kerajaan Sabah turut menyediakan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan tahunan mencecah RM155 juta.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penyelarasan lebih baik antara JPA Persekutuan dengan JPA Sabah supaya peluang mendapatkan biasiswa dan tajaan turut diperluas kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, bukan hanya mereka yang memperoleh keputusan cemerlang.
“Saya mencadangkan agar penyelarasan yang lebih baik di antara JPA Persekutuan dengan JPA Sabah supaya tidak hanya pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat biasiswa dan tajaan, tetapi juga pelajar-pelajar yang mendapat keputusan sederhana tetapi datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan memperkukuh pelaksanaan dasar Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, usaha itu perlu merangkumi peningkatan pengambilan anak tempatan Sabah serta pelantikan mereka sebagai ketua jabatan Persekutuan di negeri ini.
“Saya juga menggesa agar dasar Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan sepertimana dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 dapat ditingkatkan secara berterusan bukan hanya dari segi pengambilan, tetapi juga pelantikan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah dalam kalangan anak-anak tempatan Sabah,” katanya.
Ewon turut meminta Kerajaan Persekutuan mengesahkan jumlah dan peratusan anak tempatan Sabah yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam Persekutuan di negeri ini berbanding keseluruhan jumlah perjawatan.
Perkara itu dibangkitkan ketika menyentuh peruntukan RM2.736 juta kepada Urus Setia Cawangan Sabah, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi menguruskan hal ehwal pengambilan dan perkhidmatan calon serta pegawai Perkhidmatan Awam Am Persekutuan di Sabah.
Sementara itu, beliau turut membangkitkan kedudukan pentadbiran Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Labuan yang kini berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Beliau menggesa supaya asas, semangat dan fungsi MAN Labuan terus berpandukan Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah, termasuk dalam aspek perjawatan Ketua Anak Negeri bagi masyarakat Anak Negeri beragama Islam dan bukan Islam.
Dalam perbahasan sama, Ewon meminta penjelasan mengenai peningkatan peruntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada RM746.47 juta bagi 2027 berbanding anggaran dipinda RM68.30 juta pada 2026.
Beliau mempersoalkan perincian projek atau perolehan aset yang akan dilaksanakan menggunakan peruntukan itu, termasuk sama ada peningkatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan tahun depan.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai program atau projek yang akan dilaksanakan khusus untuk Sabah di bawah peruntukan berkenaan.






























