GEORGE TOWN (Bernama): Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan daripada isteri seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini yang mendakwa dicederakan suaminya di kediaman pasangan itu di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dengan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Polis telah merakam keterangan empat individu termasuk pasangan suami isteri itu dan setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Lim juga menafikan dakwaan isteri ADUN berkenaan kononnya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuatnya.
Beliau menegaskan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya sebaik menerima laporan berkenaan, selain akan mendapatkan pengesahan perubatan berhubung kecederaan yang didakwa dialami wanita itu. — BERNAMA






























