Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai hala tuju tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kedua-dua perkara itu memerlukan penjelasan jelas, termasuk dari segi mekanisme pelaksanaan, formula pengiraan dan garis masa.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menyentuh tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen, Madius meminta kerajaan memperjelaskan nisbah kerusi yang dicadangkan, kaedah pembahagian, keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta garis masa pelaksanaannya susulan mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 11 September lalu.
“Perkara ini penting bagi memastikan kedudukan dan kekuatan suara Sabah dan Sarawak dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan terus terpelihara,” katanya.
Mengenai hak 40 peratus hasil Sabah, beliau menegaskan pemberian interim tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada hak perlembagaan negeri itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C, Perkara 112D dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Bayaran interim tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penyelesaian muktamad atau pengganti kepada hak perlembagaan Sabah,” katanya.
Beliau turut meminta Kerajaan memperincikan formula pengiraan, data hasil yang dipersetujui serta jadual pembayaran menerusi penyelarasan antara Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Kementerian Kewangan dan Kerajaan Sabah.
Selain itu, beliau mahu penjelasan mengenai mekanisme pengesahan data serta penyelesaian tuntutan bagi tempoh 1974 hingga 2021, sambil menegaskan bahawa penerimaan bayaran interim tidak seharusnya menjejaskan hak Sabah terhadap pengiraan sebenar dan penyelesaian tuntutan bagi tempoh berkenaan.
Sementara itu, Madius turut membangkitkan kekurangan kira-kira 245 pegawai perubatan di Sabah, khususnya di Beluran, Ranau, Keningau, Sipitang dan Beaufort, serta meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan.
Katanya, penyelesaian perlu diselaraskan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk meneliti isu elaun wilayah dan kemudahan perumahan bagi menarik serta mengekalkan pegawai perubatan untuk terus berkhidmat di Sabah.
“Kerajaan perlu menyelaraskan penyelesaian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk melihat isu elaun wilayah dan kemudahan perumahan bagi menarik serta mengekalkan pegawai perubatan untuk terus berkhidmat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata kekurangan tenaga perubatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan sewajarnya.
Dalam isu pembangunan infrastruktur, Madius meminta BHESS menjelaskan status 13 projek Jalan Luar Bandar bernilai RM1.716 bilion di Sabah yang dilaporkan mengalami pembatalan proses tender sebelum ini.
Katanya, BHESS perlu menyelaraskan tindakan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Kewangan bagi memperjelaskan status pembiayaan dan proses pelaksanaan setiap projek.
“Rakyat Sabah perlu mengetahui bila proses tender akan dilaksanakan semula dan bila kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.
“Kita memerlukan penjelasan mengenai tarikh tender semula serta tarikh permulaan kerja bagi setiap projek supaya pelaksanaannya dapat dipantau,” katanya.
Madius menegaskan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar memberi kesan kepada kemudahan dan kesejahteraan masyarakat setempat, justeru setiap isu perlu disusuli tindakan konkrit dengan penetapan tanggungjawab agensi pelaksana serta garis masa yang jelas.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kemudahan perundangan dan penyelidikan Parlimen diperkukuh bagi membolehkan Ahli Parlimen memainkan peranan lebih berkesan dalam proses penggubalan undang-undang.
Katanya, pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu disusuli penyediaan khidmat perundangan mencukupi, termasuk membantu Ahli Dewan menyediakan rang undang-undang persendirian dan usul pindaan.
“Ahli Parlimen perlu diberikan akses kepada khidmat perundangan dan penyelidikan supaya mereka bukan sahaja dapat meneliti undang-undang yang dibentangkan kerajaan, tetapi turut berupaya mencadangkan pindaan serta menyediakan rang undang-undang persendirian,” katanya.
Madius turut mencadangkan supaya satu tatacara rundingan awal diwujudkan dengan Peguam Besar Sabah dan Sarawak bagi setiap rang undang-undang yang mempunyai implikasi terhadap hak negeri, Senarai Negeri atau Senarai Bersama.
Menurutnya, penglibatan kerajaan negeri pada peringkat awal penting bagi memastikan segala keperluan persetujuan negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dipatuhi sebelum sesuatu rang undang-undang dibentangkan di Parlimen.
“Kerajaan negeri perlu diberikan ruang untuk meneliti dan memberikan pandangan lebih awal, khususnya apabila sesuatu rang undang-undang menyentuh bidang kuasa serta hak yang termaktub kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan institusi Parlimen dan mekanisme rundingan dengan kerajaan negeri penting bagi memastikan proses penggubalan undang-undang mengambil kira kepentingan semua pihak dalam Persekutuan.






























