KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pembatalan tender projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah bagi memastikan projek berkenaan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick yang mengetuai sidang media itu, turut mendesak Kerajaan Persekutuan menyalurkan baki peruntukan bagi memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan.
Menurutnya, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara mengalami tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan tanah, membabitkan jumlah keseluruhan RM259.503 juta.
“Lebih mengejutkan, wilayah Sabah mencatatkan tunggakan paling parah, iaitu RM118.84 juta melibatkan 35 projek.
“Sungguhpun Kementerian Kewangan mengumumkan suntikan tambahan, ia masih gagal menutup jurang tunggakan sedia ada yang amat kritikal,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan kerajaan mengambil dua langkah drastik yang menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan jalan luar bandar.
Langkah pertama ialah pembatalan proses tender berskala besar melibatkan 40 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan keseluruhan RM5.144 bilion.
Menurutnya, pembatalan tender itu menjejaskan 13 projek JALB di Sabah dengan nilai peruntukan RM1.716 bilion.
Langkah kedua ialah penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi 87 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan RM8.096 bilion.
Arahan berkenaan turut memberi kesan kepada tujuh projek JALB di Sabah yang membabitkan peruntukan RM548.85 juta, katanya.
“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak dalam Dewan Parlimen agar hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan,” katanya.
Sidang media itu turut disertai Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar; Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching; Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir; dan Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.
































